Sentiasa peka dan sensitif terhadap keselamatan dan privasi peranti pintar anda dari digodam.

Peranti pintar seperti telefon dan tablet yang sering digunakan anda ibarat fail yang menyimpan pelbagai maklumat dan data-data peribadi sulit yang amat penting.

Isu keselamatan dan privasi terhadap peranti-peranti ini menjadi perbincangan utama dikalangan para pakar keselamatan komputer.

Malangnya kebanyakkan daripada kita iaitu pengguna peranti itu sendiri masih tidak sedar dan tidak mengambil berat akan hal ini. Disebabkan tabiat mengambil mudah atau tidak peduli dengan isu keselamatan dan privasi ini telah menyebabkan mereka amat terdedah kepada pencerobohan data dari penggodam ke atas peranti yang mereka gunakan.

Serangan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak mengira jenis peranti atau jenis sistem operasi peranti tersebut gunakan.

Kecanggihan teknologi yang sepatutnya memberi manfaat sebaliknya digunakan oleh sebahagian dari kita yang pakar dengan dunia internet telah menyalahgunakan kemahiran yang ada.

Mereka bertindak mencuri data peribadi orang lain dari peranti penggunanya atau memasukkan virus pada peranti mangsa mereka bagi melaksanakan pelbagai bentuk serangan demi kepentingan peribadi atau memang sengaja mahu menyusahkan orang lain.

Antara taktik serangan yang biasa digunakan adalah seperti memasukkan aktiviti klik automatik pada iklan-iklan menerusi pelayar web, menjadikan telefon pintar sebahagian daripada botnet dan lain-lain.

Jadi, bagi mengelakkan anda daripada terdedah dan menjadi mangsa godaman peranti, MrFix kongsikan 5 tips lindungi keselamatan dan privasi peranti pintar dari penggodam.

1. Elakkan Wi-Fi awam

wifi

 

Memang Wi-Fi ditempat awam memudahkan anda mendapat sambungan internet percuma dan sekaligus dapat menjimatkan data internet telefon anda.

Tetapi tahukah anda bahawa Wi-Fi awam ini adalah lubuk kepada para penggodam mencari mangsa mereka.

Ini kerana Wi-Fi awam amat mudah digodam oleh penggodam yang memiliki kemahiran dan peralatan ringkas bagi melihat apa yang anda sedang lakukan di atas talian.

Tetapi jika anda tetap mahu menggunakan Wi-Fi awam ini, seeloknya anda gunakan aplikasi VPN yang dapat mengenkrip data aktiviti anda, sekaligus melindungi talian anda dan menyukarkan penggodam daripada memerhati aktiviti peranti anda.

2. Kemaskini peranti

UPDATE

 

 

Satu tabiat yang mungkin ada pada kebanyakkan pemilik peranti pintar adalah mereka tidak mengambil peduli dengan kemaskini sistem operasi dan aplikasi-aplikasi yang terdapat di dalam peranti mereka.

Senang cerita malas nak update dan kerana bersikap begitu, peranti tersebut mudah digodam.

Walhal, ia merupakan langkah yang cukup mudah dan amat penting bagi memastikan sistem operasi peranti anda sentiasa ditambah baik dari masa ke semasa.

Kemaskini peranti memastikan pepijat dibuang dan kelemahan sistem tidak dieksploitasi oleh penggodam. Sekaligus sistem pertahanan yang terdapat di dalam peranti anda bertindak dengan lebih efektif terhadap sebarang percubaan pencerobohan data.

3. Abaikan spam

Spam merupakan taktik tipikal yang biasa digunakan penggodam tetapi masih ramai yang termakan dengan umpan ini. Spam adalah satu bentuk e-mel sampah yang disalin berulang kali di internet yang memaksa pengguna menerimanya.

Kebanyakkan spam adalah berkaitan dengan iklan komersil, produk-produk yang meragukan, skim cepat kaya atau perkhidmatan yang berkaitan dengan undang-undang.

spam

Di dalam spam biasanya terkandung pautan yang mencurigakan, arahan palsu yang meminta pengguna memasukkan kata laluan serta mengandungi lampiran palsu yang boleh menyebabkan peranti pintar anda terdedah kepada ancaman tertentu apabila anda klik pada pautan dari spam tersebut.

Maka, cara terbaik bagi mengelakkan spam ini adalah dengan tidak melayan dan membuka e-mel yang tidak dikenali penghantarnya.

Kebiasaannya spam ini memang akan ditempatkan secara automatik dibahagian ruang spam e-mel anda yang mana ia merupakan salah satu ciri keselamatan yang terdapat di dalam aplikasi dan penyedia perkhidmatan e-mel.

4. Gunakan 2 langkah pengesahan

Bagi meningkatkan ciri keselamatan internet, hampir kesemua laman web dan aplikasi utama kini telah mula menyokong ciri 2 langkah pengesahan.

two-factor authentication

Ciri ini berfungsi dengan menghantar kod ringkas kepada pengguna sebagai pengesahan sementara di telefon pintar yang didaftarkan bagi membolehkan pengguna mengakses maklumat, data dan profil peribadi diperanti berbeza.

Ciri ini mungkin sedikit leceh tetapi ia adalah cara yang dapat meningkatkan perlindungan daripada pihak ketiga yang ingin cuba mengakses profil sulit anda.

 

5. Gunakan kata laluan yang kuat

Ringkasnya, gunakan kata laluan yang sukar dicerobohi. Jangan sesekali menggunakan kata laluan semudah seperti 123456, abcdefg, ooooo dan lain-lain. Ini kerana kata laluan tersebut tersenarai dalam 25 Kata Laluan paling teruk yang digunakan sepanjang tahun 2017.

Memang mengingati dan membuat kata laluan adalah memeningkan anda. Tetapi anda boleh cuba menggunakan aplikasi-aplikasi yang dapat menguruskan kata laluan anda dengan baik.