IMEI atau International Mobile Equipment Identity merupakan gabungan digit-digit unik yang berfungsi seperti kad pengenalan kepada setiap telefon pintar yang ada. IMEI boleh didapati di bahagian bateri, kotak peranti, pada resit pembelian atau pada bahagian tetapan peranti anda. Selain itu, anda juga boleh mendail *#06# untuk mendapatkan nombor IMEI anda.

Secara umumnya, IMEI mempunyai 15-digit yang mengikut format AA-BBBBBB-CCCCCC-D. A membawa maksud angka identiti untuk pengeluar, B pula membawa maksud angka model telefon, C pula ialah angka identiti dan D ialah angka terakhir yang mengesahkan keseluruhan angka IMEI.

Bagi rata-rata pengguna telefon pintar, apabila peranti anda hilang atau dicuri, IMEI boleh membantu anda untuk memblok nombor pada peranti anda serta menyekat penggunaan peranti tersebut, menjadikannya tidak boleh digunakan lagi. Anda boleh menghubungi syarikat pembekal rangkaian anda untuk membantu anda melakukan fungsi ini.

Tetapi, anda sentiasa perlu berwaspada untuk tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat IMEI anda kepada orang lain kerana orang lain boleh mengambil kesempatan terhadap peranti anda seperti pengklonan.

(Sumber rujukan: amanz.my)