Penggunaan telefon pintar kian meningkat (Sumber Gambar: digitaltrends.com)

Semakin hari, semakin ramai manusia yang terhubung dengan menggunakan telefon bimbit. Hal ini kerana, pada masa kini, telefon bimbit mempunyai pilihan harga yang pelbagai, mengikut kehendak masing-masing. Secara umumnya, telefon bimbit menggunakan bateri yang terletak di bahagian belakang badannya serta boleh dicas semula menggunakan sambungan ke soket elektrik apabila kehabisan tenaganya. 

Disebabkan penggunaan telefon bimbit dalam sehari-hari yang terlalu kerap, keperluan terhadap ketersediaan baterinya sepanjang masa adalah semakin tinggi. Namun, semakin masa berlalu, keadaan bateri telefon bimbit anda akan semakin merosot. Kebanyakan telefon pintar pada hari ini mempunyai bateri yang tidak boleh ditanggalkan dan menyukarkan pengguna memeriksa keadaan bateri secara fizikal.

Walau bagaimanapun, pengguna telefon pintar boleh memeriksa keadaan telefon pintar dengan cara berikut. Pertama, matikan telefon bimbit anda sebelum mengecasnya sehingga penuh. Setelah penuh, hidupkannya semula dan perhatikan peratusan kuasa bateri anda. Jika kurang daripada 100%, ini menunjukkan bateri telefon bimbit anda perlu diganti. Walau bagaimanapun, jangan cepat membuat keputusan. Boleh jadi, telefon pintar anda menggunakan perisian yang menggunakan kuasa yang tinggi. 

Jika anda yakin telefon pintar anda memerlukan bateri ganti dan anda menggunakan telefon pintar yang baterinya tidak boleh ditanggalkan, anda tidak disarankan menggantikan baterinya sendiri. Ini kerana, jika anda tidak berhati-hati, pelekat waranti mungkin akan terjejas dan akan lebih menyukarkan urusan anda pada masa hadapan.