MRFIX - Baiki fon dan laptop

Cas Guna Soket Kereta Boleh Rosakkan Bateri Telefon Anda?

Bacaan 2 minit

Menurut beberapa artikel, ada mengatakan mengecas telefon mengguna palam USB dan soket kuasa (cigarette lighter point) akan merosakkan telefon dengan alasan ia disebabkan kuasa arus terus (DC) daripada bateri yang tidak stabil berbanding kuasa arus ulang alik (AC) yang kita guna di rumah.

Sebenarnya kurang tepat.

Bekalan bateri kereta ialah 12V, tidak menganggu cas bateri telefon pintar kita, malah tidak beri kesan pun berbanding kaedah biasa. Jika bekalan tidak stabil, masakan unit kawalan elektronik (ECU) kereta dapat berfungsi baik tanpa gangguan kerana ECU ialah ‘brain’ kepada sesebuah kereta.

Sebelum saya terangkan lebih dalam perkara ini, kita fahamkan dulu formula V=IR. Arus (Ampere) kita andaikan sebagai berapa besar batang paip air kat rumah kita. Voltan pula kita andaikan berapa tekanan air dalam paip tersebut.

Lagi besar paip, maka lagi banyak air yang kita dapat. Begitu jugalah mengecas telefon, makin tinggi arus (ampere) makin cepat bateri telefon tersebut dicaskan. Standard fius untuk soket kuasa ialah 12V dan 10A. Boleh dikatakan cukup besar untuk menampung input telefon pintar yang menggunakan cuma 5V dan arus dalam 1.0A – 4.5A.

Persoalan stabil atau tidak mengecas telefon menggunakan palam USB atau soket kuasa sudah terjawab. Malah, kuasa bateri kereta sudah mencukupi untuk menampung proses mengecas telefon tersebut.

Persoalan kedua, adakah ia tidak menjejaskan bateri kereta?

Penggunaan bateri telefon terlalu kecil berbanding kapasiti bateri kereta dan tiada masalah untuk mengecas telefon ketika memandu. Ketika enjin kereta tidak hidup, kereta keluaran terbaharu akan memutuskan bekalan bateri kepada USB dan soket kuasa, maka tiadalah pengaliran cas berlaku.

Persoalan ketiga, kenapa proses cas telefon menggunakan palam USB port atau soket kuasa cukup perlahan?

Sebagai makluman, kebanyakan kenderaan menggunakan palam USB dengan kemampuan purata cuma 0.5A yang tidak bersesuaian dengan input yang diperlukan telefon pintar. Maka, ia jadi sangat perlahan dan telefon jadi panas. Di sini silapnya kerana teknologi telefon pintar hari ini terlalu pantas berbanding kereta. Telefon pintar  menggunakan ampere lebih besar berbanding telefon model terdahulu.

Bukan kerana bateri kereta ataupun sistem kereta yang tidak mampu membekalkan kuasa, tetapi palam USB yang digunakan tidak bersesuaian. Sama juga kes apabila menggunakan pengecas soket kuasa, pastikan guna pengecas soket kuasa yang ada kapasiti arus (Ampere) tinggi dan bersesuaian dengan telefon pintar kita.

Palam USB atau pengecas soket kuasa tidak ubah seperti adapter pengecas telefon kita di rumah. Jika kita menggunakan adapter yang salah atau kurang sesuai, cas akan  sangat perlahan dan merosakkan telefon kita. Begitu juga pemilihan pengecas telefon pintar kereta pun mestilah bersesuaian. Bukan tangkap muat, beli harga RM10 walhal kemampuan cuma 1.0A atau kurang.

Antara faktor lain ialah kabel pengecas mesti mampu menanggung arus seperti standard telefon kita. Kesimpulannya, mengecas telefon pintar dalam kereta adalah selamat dan tidak merosakkan telefon sekiranya menggunakan pengecas dan kabel yang bersesuaian.

Tengok adapter original telefon anda, berapakah input ampere yang diperlukan? Dan carilah pengecas kereta yang mempunyai spesifikasi hampir sama dengan asal.