Program e-Tunai Rakyat yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia yang layak di samping bertujuan menggalakkan penggunannya secara meluas. Mari kita telusuri apakah yang dimaksudkan dengan e-dompet (e-wallet) dan faedahnya kepada pengguna.
Maksud e-dompet
E-dompet bekerja seperti mana dompet berkerja dalam dunia sebenar dengan menjadi tempat simpanan wang sementara dan ‘wang’ tersebut adalah dalam bentuk digital dan ‘dompet’ itu wujud dalam bentuk sebuah aplikasi yang boleh dimuat turun. Seperti mana dompet dalam dunia sebenar berfungsi, anda perlu memasukkan wang ke dalam e-dompet sebelum menggunakannya.
Wang boleh dimasukkan ke dalam e-dompet dengan cara menambah nilai melalui pelbagai platform seperti kad debit dan kredit serta perbankan atas talian. Setelah baki mencukupi, pengguna dapat melakukan pelbagai jenis bayaran sama ada dengan mengunjungi mana-mana kedai yang menerima bayaran daripada e-dompet atau boleh juga menggunakan perkhidmatan yang tersedia secara atas talian seperti membayar bil utiliti. Kaedah bayaran boleh dibuat sama ada dengan mengimbas kod QR, pindahan wang secara terus kepada pengguna e-dompet yang terbabit atau melalui kad seperti yang terdapat pada aplikasi Touch N Go.
Apa faedah muat turun e-dompet?
Selain pelbagai ganjaran seperti pulangan tunai (cashback) dan pelbagai tawaran potongan harga di pelbagai kedai, e-dompet semestinya memberi pelbagai kelebihan kepada pengguna. Pertamanya, e-dompet mempercepatkan dan memudahkan proses pembayaran di kaunter (pastikan baki mencukupi). Kenapa? Bayaran secara tunai kadang-kadang agak memakan masa apabila juruwang meminta wang yang lebih kecil kerana kekurangan wang tunai di awal perniagaan untuk dipulangkan sebagai baki. Selain itu, setiap transaksi menggunakan e-dompet boleh dikesan dengan mudah dan dapat mengurangkan risiko wang anda hilang akibat kecurian atau penipuan.
Secara umumnya, baki di dalam e-dompet tidaklah sebanyak baki di dalam kad debit atau kad kredit anda. Sekiranya anda kehilangan dompet, wang tunai, kad debit dan kad kredit anda boleh digunakan sesiapa pun terutamanya apabila payWave dibenarkan. Jika telefon pintar anda dicuri atau hilang, anda tidak perlu risau kerana setiap transaksi di dalam e-dompet hanya boleh dilakukan dengan memasukkan pin keselamatan yang hanya diketahui pemiliknya.
Bila boleh guna e-dompet?
Kini, semakin banyak kedai yang menerima bayaran melalui e-dompet termasuklah di pasar-pasar raya, kedai makan, stesen minyak dan juga di pasar malam! Meskipun kedai-kedai ini tidak menggunakan perkhidmatan e-dompet yang sama, anda boleh memuat turun pelbagai aplikasi e-dompet yang tersedia. Selain itu, terdapat pelbagai perkhidmatan yang membenarkan pembayaran secara atas talian. Sebagai contoh, pembelian di atas talian seperti di Shopee, perkhidmatan e-hailing dan penghantaran makanan seperti Grab dan GrabFood, yang masing-masing menyediakan perkhimatan e-dompet tersendiri.
Jadi, tak perlulah bawa wang tunai?
Disebabkan e-wallet merupakan transaksi digital, kadangkala, masalah teknikal mungkin akan muncul seperti ‘server down’. Sebagai persediaan, sediakanlah wang tunai sebagai persediaan sekiranya masalah yang jarang berlaku ini, tiba-tiba muncul.