MRFIX - Baiki fon dan laptop

Fungsi Accelerometer Dalam Telefon Pintar Anda

Bacaan 2 minit
Paparan kiraan langkah pada telefon pintar

Accelerometer merupakan salah satu komponen penting dalam teknologi telefon pintar masa kini. Jadi, apakah itu accelerometer? Accelerometer ialah sejenis peralatan elektromekanik yang berfungsi berdasarkan pengesanan pergerakan melalui perubahan paksi kedudukan peranti. Selain ditemui dalam telefon pintar, accelerometer juga boleh didapati pada peranti kecergasan seperti jam tangan pintar (smartwatch). Accelerometer digunakan untuk mengukur daya-daya yang berkaitan dengan pecutan seperti daya graviti serta perkara-perkara yang melibatkan telefon pintar, iaitu, pergerakan dan getaran.

Accelerometer diperbuat daripada pelbagai sensor-sensor lain termasuklah struktur kristal mikroskopik yang tertekan oleh daya pecutan. Accelerometer ini kemudiannya menterjemah voltan yang terhasil daripada perubahan tekanan struktur tersebut lalu menunjukkan kelajuan dan arah pergerakan peranti pintar anda.

Accelerometer memberi pelbagai manfaat kepada pengguna telefon pintar dan peranti-peranti pintar lain yang menggunakan accelerometer. Sebagai contoh, accelerometer menunjukkan kelajuan pergerakan kenderaan anda melalui aplikasi seperti Waze dan Google Maps serta menunjukkan kiraan langkah anda. 

Selain itu, accelerometer juga menyokong perisian kompas dalam menunjukkan arah, aplikasi penentuan arah kiblat serta aplikasi berkaitan ilmu falak seperti SkyMap untuk menjejak bintang dan planet-planet di angkasa. 

Seterusnya, accelerometer juga digunakan dalam aplikasi melibatkan augmented reality (AR) di samping menukar paparan daripada potret dan landskap berdasarkan cara anda memegang telefon pintar anda serta boleh bertindak seperti stereng kereta dalam aplikasi permainan berkaitan pemanduan.

Selain digunakan secara meluas dalam pelbagai aplikasi dan perisian pada telefon pintar, accelerometer juga digunakan dalam sektor lain. Contohnya, accelerometer digunakan untuk mengesan gempa bumi dan pelbagai peralatan perubatan seperti anggota badan bionik dan pelbagai bahagian tubuh buatan. Seterusnya, accelerometer juga digunakan pada kereta untuk mengesan pelanggaran dan melancarkan beg udara serta merta.