Pengguna peranti Apple seperti iPhone dan iPad sudah tentu tidak asing lagi dengan perkataan Jailbreak. Tentu sahaja anda pernah melihat mahu pun mendengar rakan dan artikel di Internet bercakap mengenainya ataupun anda sendiri telah menggunakan peranti iPhone yang telah di Jailbreak.
Dalam artikel ini, saya ingin menerangkan beberapa perkara dan fakta menarik berkenaan Jailbreak secara ringkas dan mudah kepada para pembaca agar senang difahami oleh pengguna yang baru memiliki peranti Apple. Sebelum itu, mari kita baca apakah yang dimaksudkan dengan Jailbreak.
Apa itu Jailbreak?
Jailbreak adalah proses mendapatkan akses root ke platform iOS seperti iPhone, iPad dan iPod Touch untuk membuang sekatan dan limitasi yang dibuat oleh Apple terhadap peranti tersebut. Dengan kata lain yang lebih mudah, Jailbreak dapat memberikan lebih kebebasan kepada pengguna dan tidak terbatas dengan sekatan atau limitasi oleh Apple.
Dengan adanya Jailbreak, anda boleh memasang aplikasi yang belum diselidik oleh Apple dan mengubah OS itu sendiri. iOS pada asalnya mengunci akses pada tahap terasnya dan anda sepatutnya menggunakan peranti iOS mengikut peraturan Apple. Apple tidak membenarkan anda berinteraksi dengan iOS pada peringkat teras, dan anda tidak boleh menambah, mengalih keluar, mengubah, atau menaiktaraf aspek sistem operasi. Disini Jailbreak mengambil peranannya.
Sejarah ringkas Jailbreak
Jailbreak dimulakan oleh seorang remaja berumur 17 tahun, George Hotz. Beliau hanya menggunakan pemutar skru Philips untuk membuka iPhonenya dan menggunakan alat pematerian untuk mengubah kod baseband pada pemproses baseband, cip yang mengunci iPhone ke telco tertentu. Setelah itu, bermulalah revolusi Jailbreaking.
Jailbreak mula mendapat perhatian ramai apabila Jailbreak untuk iPhone 3G iOS 2.0 diumumkan bersama Cydia. Jay Freeman dikenali sebagai father of jailbreaking bukan kerana dia mencipta jailbreak pertama, tetapi kerana dia mencipta Cydia, pintu masuk untuk memasang aplikasi jailbreak dan tweak.
Kelebihan Jailbreak
Kelebihan utama jailbreak adalah pengguna dapat mengakses aplikasi Cydia pada peranti Apple anda. Dengan adanya aplikasi Cydia, pengguna dapat memuat turun dan memasang pelbagai aplikasi dan tweak yang tidak terdapat dalam App Store.
Pengguna peranti Apple Jailbreak dapat mengubah suai pelbagai penetapan yang terdapat dalam peranti Apple dan ianya tidak terbatas. Ini termasuklah mengubah suai antaramuka iOS, menukar ikon dan banyak lagi.
Keburukan Jailbreak
Peranti Jailbreak adalah tetap tidak sah di mata pihak Apple. Semua peranti Jailbreak secara automatik akan membuat jaminan oleh Apple terbatal walaupun tempoh jaminan masih ada kerana telah melanggar syarat-syarat jaminan. Hal ini kerana anda telah mengubah suai kandungan dalam tahap teras iOS semasa proses Jailbreak tersebut.
Pengguna peranti Jailbreak juga sangat terdedah dengan serangan penggodam. Apple telah pun memberikan ciri-ciri keselamatan pada peranti anda yang melindungi anda dari serangan. Dengan menggunakan peranti Jailbreak, ciri-ciri keselamatan tersebut tidak dapat melindungi anda kerana tahap teras pada iOS telah pun dicerobohi.
Kesimpulan
Setiap sesuatu perkara semestinya mempunyai kebaikan dan keburukan dan ini termasuk lah juga Jailbreak. Mungkin pada awalnya, sekitar tahun 2007 hingga 2016, Jailbreak sangat lah popular dalam kalangan pengguna iOS, tetapi kini sudah tidak. Ini kerana sudah banyak tweak yang dahulunya hanya terdapat pada Jailbreak tetapi sudah pun digunakan pada iOS terkini oleh Apple. Pengguna juga boleh memuat turun dan memasang aplikasi yang tidak berdaftar dengan Apple tanpa Jailbreak dengan menggunakan kaedah lain.