USB atau nama penuhnya Universal Serial Bus merupakan sejenis penyambung yang digunakan dengan secara meluas pada hari ini untuk pelbagai fungsi seperti pengecasan dan penyegerakan (synchronization). Penyambung USB jenis A pula merupakan jenis penyambung yang digunakan dengan sangat meluas.Â
Selain fungsi pengecasan yang digunakan dalam pelbagai peranti seperti telefon pintar dan tablet, penyambung jenis A juga digunakan untuk menyambung peranti lain seperti tetikus, papan kekunci dan pemacu denyar (flash drive). Port USB jenis A juga boleh didapati di pelbagai peralatan seperti komputer riba, televisyen, dan konsol permainan video (seperti Playstation).
Penyambung jenis A juga terdiri daripada beberapa generasi iaitu USB 1.1, USB 2.0 dan USB 3.0. Kebanyakan USB 3.0 berwarna biru. Berbanding USB 1.1 dan USB 2.0 yang mempunyai empat pin, USB 3.0 mempunyai sembilan pin di mana pemindahan data dapat berlaku lebih pantas (jika disambungkan kepada port USB 3.0). Namun begitu, USB 3.0 masih boleh digunakan pada port USB 1.1 dan USB 2.0 meskipun kadar kelajuannya adalah lebih rendah mengikut jenis port yang digunakan.