shah alam
MRFIX - Baiki fon dan laptop

Skrin Sesentuh Jenis Kapasitif (Capacitive)

Bacaan 2 minit

Selain skrin rintangan yang digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor, skrin kapasitif (capacitive screen) menjadi pilihan pengeluar telefon pintar zaman kini disebabkan kelebihannya yang tersendiri. 

Komponen Asas Skrin Kapasitif

 

Terdapat pelbagai jenis skrin kapasitif. Namun, secara umumnya, skrin kapasitif diperbuat daripada satu lapisan kaca yang di bahagian bawahnya mempunyai jaringan garisan halus logam yang konduktif seperti indium tin oksida. Garisan menegak dikenali sebagai driving lines yang mengalirkan arus elektrik secara tetap manakala garisan melintang pula yang dikenali sebagai sensing lines yang berfungsi mengesan arus elektrik. Di setiap titik pertemuan garisan menegak dan melintang ini, berlakunya medan elektrostatik di mana, prosessor peranti anda, mengenal pasti keadaan itu sebagai neutral. 

Secara semulajadinya, badan manusia mampu menghasilkan dan menyimpan cas yang tersendiri. Justeru, badan manusia yang bersifat konduktif ini (mampu mengalirkan arus elektrik) berperanan besar dalam mekanisma penggunaan skrin kapasitif di mana, cas daripada jari manusia akan menyebabkan gangguan di titik tersebut dan diterima sebagai input oleh prosessor peranti anda.

Oleh itu, skrin kapasitif hanya dapat dikendalikan oleh objek yang konduktif. Jika pengguna mengenakan sarung tangan, tiada input yang akan dikenal pasti melainkan sarung tangan tersebut mempunyai bahan yang konduktif.

Skrin kapasitif didapati lebih mudah untuk dikendalikan, apabila pengguna tidak perlu menekan dengan terlalu kuat untuk menghasilkan input. Selain itu, berbanding skrin rintangan, skrin kapasitif menerima beberapa sentuhan input secara serentak. Skrin kapasitif juga mampu menerima input dan memberi output yang sangat tepat dan halus disebabkan kehalusan jaringan logam konduktif indium tin oksida. Namun, skrin kapasitif adalah lebih mahal berbanding skrin rintangan serta lebih mudah pecah.