Kemunculan banyak video-video baru di pelbagai platform seperti di Youtube daripada Malaysia sendiri menunjukkan bahawa generasi kini menjadikan video sebagai medium yang penting untuk penyampaian informasi. Kini, terdapat pula cara baru menonton video yang semakin popular, iaitu video 360° dan virtual reality (VR).
Secara umumnya, video 360° dan VR membenarkan penontonnya berinteraksi dan merasai pengalaman persekitaran di dalam video. Selain itu, penonton juga diberi peluang memilih untuk melihat daripada mana-mana perspektif yang dikehendaki. Namun begitu, terdapat beberapa konsep yang disenaraikan oleh Youtube Creator Academy dapat membezakan kedua-dua teknologi ini.
Video 360° mengaplikasikan paparan monoskopik yang menggunakan hanya satu paparan yang memenuhi skrin peranti. Penonton boleh melihat ke arah lain di dalam video di desktop menggunakan tetikus dengan cara klik dan seret paparan di skrin manakala pengguna telefon pintar pula boleh menyeret paparan di skrin menggunakan jari. Video 360° juga tidak memerlukan sebarang aksesori tambahan untuk mendapatkan pengalaman penuh.
VR mengaplikasikan paparan steroskopik yang membahagikan paparan skrin kepada dua yang setiap satunya adalah untuk mata kiri dan kanan. Paparan stereoskopik ini membenarkan setiap mata untuk melihat dengan perspektif yang berbeza, menghasilkan kedalaman dan perbezaan jarak, seperti di dalam dunia yang sebenar. VR memerlukan penggunanya untuk mengenakan aksesori head-mounted device (HMD) yang dapat menyekat penglihatan daripada dunia sebenar secara menyeluruh. Contohnya, Google Cardboard dan VR box yang boleh didapati dengan harga yang berpatutan di pasaran atas talian. Pengguna dengan mudahnya dapat melihat perspektif lain dengan menoleh kepala mengikut arah yang hendak dilihat.
Meskipun teknologi Video 360° dan VR boleh dikatakan masih baharu, tetapi perkembangannya sangat pantas. Pelbagai jenis video dapat dihasilkan dengan memanfaatkan kedua-dua teknologi ini demi memberi pengalaman yang lebih menyeronokkan kepada penonton seperti dokumentari, sukan dan video muzik.